Monday, November 7, 2016

Jadi Wakil Rakyat Sekarang Lebih Mencabar

SHAH ALAM – Pensyarah Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Antarabangsa, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berpendapat, ahli parlimen zaman kini lebih mencabar berbanding ahli parlimen era sebelumnya.

Katanya, suasana lebih agresif di Dewan Rakyat khususnya, di Parlimen menjadikan wakil rakyat masa kini perlu lebih bersedia dan lebih peka dengan isu semasa.

“Pada pandangan saya, terdapat beberapa aspek yang membezakan kematangan ahli parlimen terdahulu dan ahli parlimen sekarang. Ahli politik pada masa kini perlu lebih sedia menjawab soalan dengan fakta berbanding retorik pemujukan semata-mata kerana pengundi mahukan pemimpin bijak.

“Isu ekonomi telah menjadi bahan utama yang diangkat kerana masyarakat mahu melihat pemimpin mereka memperjuangkan dan mencari penyelesaian kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Menjawab pertanyaan adakah ahli parlimen masa kini lebih beretika berbanding ahli politik terdahulu, beliau berpendapat, ahli parlimen di negara ini masih mempunyai nilai adab yang baik.

“Saya rasa ahli parlimen masa kini pun masih ada nilai sivil. Mereka hanya dipengaruhi tekanan yang ada dalam Dewan Rakyat pada hari ini. Kita perlu tahu tekanan di dewan pada masa sekarang berbanding dahulu adalah tidak sama.

“Bila parti pemerintah tidak mendapat 2/3 ahli dalam dewan, maka dewan seharusnya lebih hidup,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya, untuk lebih berdaya saing, ahli parlimen akan memerlukan para pengkaji dari dunia akademik bagi membantu menambah baik kualiti penyampaian fakta yang dikongsikan dalam dewan.

“Ahli parlimen perlu mengangkat secara serius aspirasi golongan yang memerlukan dalam menghadapi isu peningkatan kos ssara hidup melalui strategi dan kaedah yang berkesan,” katanya lagi.-Sinar